Selamat datang ke laman web SK Taman Universiti 4


PENGENALAN SKTU 4

Nama Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 ini dipilih berdasarkan lokasinya di Taman Universiti dan ianya merupakan projek pembangunan sekolah yang keempat di kawasan tersebut. Guru besar SKTU 4 yang pertama dan juga menjadi pengasasnya ialah Pn. Tumirah bt Jemon.

SK Taman Universiti 4 telah dibina di atas keluasan tanah seluas 8.67 hektar. Kawasan berumputnya kira-kira 6 hektar sementara yang lainnya menempatkan 3 blok bangunan dan sebuah kantin. Ketiga-tiga blok tersebut adalah blok A ( Blok Pentadbiran ), blok B ( Blok Akademik 1 ) dan blok C ( Blok Akademik 2 ). Ketiga-tiga blok juga mempunyai tiga aras iaitu aras bawah, aras satu dan aras dua. Pada tahun 2007, sekolah ini telah memulakan kelas Pra Sekolahnya yang pertama. Pada akhir tahun 2007, pembinaan bangunan ke 4 (blok D) pula dimulakan dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2009 yang akan menyaksikan SKTU 4 hanya mempunyai 1 sesi persekolahan sahaja pada tahun 2010.

KEDUDUKAN GURU DAN MURID

Pada awal tahun 2008, bilangan murid SK Taman Universiti 4 telah berkurang berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan peningkatan. Bilangan murid telah berkurang menjadi 976 (data pada 31.01.2008), bilangan kelas juga telah berkurang menjadi 27 kelas; tahap 1 hanya 4 kelas bagi setiap aliran manakala 5 kelas bagi setiap aliran tahap 2. Kelas pendidikan khas kekal sebanyak 2 kelas manakala kelas Pra sekolah kekal dengan 1 kelas.

Kekuatan gurunya pula seramai 66 orang termasuk 4 orang guru LPBS, LPBS j-QAF dan LPBS pendidikan khas. Seramai 2 orang guru pula sedang cuti belajar untuk menyambung pengajian diperingkat Sarjana Muda.

SK Taman Universiti 4 telah bersekolah dengan satu sesi sahaja bermula tahun 2010 (sesi pagi)dengan 13 buah kelas untuk tahap 1 dan 13 kelas untuk tahap 2.  

KEMUDAHAN FIZIKAL SEKOLAH

Sekolah ini mempunyai kemudahan bilik-bilik khas akademik seperti makmal komputer, makmal sains, bilik SAC, bilik muzik, bilik audio-visual, perpustakaan, bilik bahan bantu mengajar bilik kemahiran hidup, bilik pendidikan khas, bilik pemulihan khas dan bilik sembahyang.

MAKMAL KOMPUTER

Makmal komputer sekolah ini dilengkapi dengan 21 buah komputer, sebuah mesin pencetak, 41 buah kerusi dan 21 buah meja. Bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, pihak jawatankuasa ICT sekolah telah bersetuju untuk menyalin CD pembelajaran yang dibekalkan kepada 20 salinan bagi setiap tajuk. CD ini adalah bekalan dari Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan. Satu jadual khas telah disediakan dan dipatuhi oleh guru sekolah ini.

MAKMAL SAINS

Selain daripada bekalan yang diterima dari Kementerian Pendidikan, pihak sekolah telah berusaha untuk menambah peralatan dan kemudahan bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran Sains. Jadual penggunaan makmal adalah berdasarkan waktu mata pelajaran tersebut bagi tahap dua. Usaha menceriakan makmal dilakukan berterusan. Jumlah carta yang ada untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran masih kurang dan perlu ditambah dari masa ke semasa.

BILIK SELF ACCESS CENTRE(SAC)

Digunakan bagi tujuan pembelajaran kendiri. Semua guru Bahasa Inggeris menggunakan kemudahan yang ada. Bilik ini semakin ceria dan dapat menarik minat murid untuk belajar dengan kemudahan seperti kad-kad bacaan, carta, buku-buku cerita, radio dan majalah yang berkaitan.

BILIK MUZIK

Bilik ini dilengkapi dengan pelbagai alat muzik seperti keyboard, kompang, jidor, maracas, tamborin, gerincing, kastenet dan lain-lain. Carta, buku panduan dan rujukan telah disediakan. Penyeliaan bilik ini dilaksanakan oleh guru-guru muzik mengikut sesi pagi dan petang.

BILIK AUDIO VISUAL

Bilik Audio visual sangat ceria dengan pelbagai kemudahan seperti, kaset, CD, sebuah peti televisyen yang dilengkapi ASTRO, alat pemain VCD, kerusi kuliah yang cukup dan skrin putih. Bahagian TVPendidikan dan ASTRO telah membekalkan jadual berserta tajuk-tajuk pembelajaran. Jadual penggunaan juga disediakan namun masanya tayangan tidak begitu menepati jadual.

PERPUSTAKAAN

Perpustakaan sekolah menjadi daya tarikan kepada murid-murid untuk menambah ilmu kerana telah dilengkapi dengan buku-buku yang semakin bertambah. Daripada jumlah awalnya hanya 3000 buah, kini telah mencecah kepada lebih 6500 buah buku yang telah diproses. Jumlah perabot juga telah ditambah. Perpustakaan ini dilengkapi permaidani dan menjamin keselesaan murid membaca dengan suasana yang kondusif.

BILIK KEMAHIRAN HIDUP

Terletak di blok C aras bawah. Bilik ini kini lengkap dengan pelbagai alat tangan, carta, akuarium, kabinet dan sebuah tangga. Kedudukan bangku dan meja sering berubah kerana bilik ini sering menjadi bilik operasi bagi majlis-majlis rasmi. Semua pembelajaran Kemahiran Hidup dilaksanakan di bilik ini.

BILIK PENDIDIKAN KHAS

Berada di aras 1 Blok C. Peralatan asas seperti dapur, katil, televisyen, pemain VCD, almari, kerusi meja dan kabinet telah disediakan. Bahan pengajaran dan pembelajaran seperti carta, buku, kad-kad bacaan dan bahan permainan juga telah dibeli daripada para pembekal.

BILIK PEMULIHAN KHAS

Ekoran dari pertambahan bilangan kelas pada tahun ini bilik ini terpaksa dipindahkan dari aras 1 blok A ke tingkat bawah blok B, mengambil lokasi kedai buku sekolah. Bilik ini mencukupi untuk menampung murid-murid mengikuti pembelajaran dengan sempurna. Peralatan pengajaran dan pembelajaran telah ditambah. Dengan inisiatif guru yang ditugaskan kelas telah berjalan dengan penjadualan yang telah disusun.

BILIK PENDIDIKAN JASMANI

Berada di tingkat bawah blok A. Bilik ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan kemudahan Pendidikan Jasmani. Peti lombol, tilam, bola, kayu hoki, jarring, tiang gold dan kabinet-kabinet untuk menyimpan alatan digunakan sepenuhnya di sini. Keadaan bilik ini semakin ceria dan peralatan disimpan secara tersusun dengan kerjasama guru-guru PJK.

BILIK BAHAN BANTU MENGAJAR

Memandangkan bahan bantu mengajar dan peralatan yang semakin bertambah, maka bilik ini telah ditempat ke lokasi yang baru iaitu di bilik bersebelahan dengan bilik muzik. Berbanding lokasi awalnya di bahagian dalam perpustakaan, penggunaannya lebih berkesan di bilik ini kerana lokasinya tidak begitu jauh dari bilik guru dan tidak tersorok. Dari masa ke semasa carta semakin bertambah. Peralatan lain juga sudah bertambah. Bagi membolehkan guru kekal dan membuat kerja di dalamnya pihak sekolah telah berusaha memasang kipas angin dinding dari punca elektrik yang baru.

RASIONAL

Walaupun masih terdapat beberapa kekurangan seperti ABM dan bahan bacaan, pihak sekolah telah berusaha dari masa ke semasa menambahkannya. Pada tahun lalu, (2005) pihak sekolah telah mewujudkan bilik PPSMI yang khas untuk Kohort 1, 2 dan 3. Segala peralatan yang telah dibekalkan diurus oleh jawatankuasa PPSMI dan dalam kawalan pihak pentadbiran. Bilik ABM dan perpustakaan juga telah diasingkan dan diperelokkan untuk memudahkan guru dan murid menggunakannya dengan lebih selesa. Adalah diharapkan guru-guru sentiasa memanfaatkan kemudahan yang ada dan pihak pentadbir pula sentiasa berusaha ke arah merealisasikan misi dan visi sekolah bagi mewujudkan suasana yang kondusif kepada murid-muridnya.

guru besar
falsafah, misi dan visi

FALSAFAH SEKOLAH

 Berteraskan disiplin yang kukuh, ilmu ilmu dan kecemerlangan diri pasti tercapai. Sesungguhnya murid boleh diajar dan boleh belajar. Bahawasnya murid-murid sekolah ini mempunyai potensi untuk berkembang dalam semua bidang

VISI SEKOLAH

 Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang

MISI SEKOLAH

 Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

logo sekolah

PENGERTIAN LOGO SKTU 4

Reka bentuk asas logo merupakan sebuah perisai yang terbentuk dari konsep sebentuk mata pena yang membawa maksud nilai-nilai keilmuan menjadi tunggak kepada institusi ini.

Warna biru membawa erti kesetiaan dan kepatuhan kepada peraturan-peraturan sekolah dan seterusnya perlembagaan negara.

Warna merah bererti berani; Berani membawa perubahan -perubahan yang berbentuk inovasi dalam cara bekerja, bertindak dan berfikir. Merah juga membawa maksud berani menghadapi cabaran.

Warna perak adalah warna keluli iaitu sejenis panca logam yang keras dan lasak. Ini membawa pengertian bahawa warga SKTU 4 adalah terdiri daripada insan-insan yang lasak dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Warna kuning bermaksud sekolah ini berada di dalam sebuah negara yang mempunyai konsep pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Imej segi enam yang menggambarkan sebiji nat dan sebuah kelalang bulat melambangkan penerapan unsur sains dan teknologi yang menjadi teras kepada pembangunan negara.

Bulatan merah yang berada di tengah-tengah nat melambangkan era globalisasi dan futuristik. Sebuah imej yang membentuk bulan sabit merah pada bulatan tersebut adalah lambang kepada agama Islam, agama rasmi negara Malaysia, sekaligus membawa maksud nilai-nilai agama dan moral tetap dijunjung seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.

BERDISIPLIN, BERILMU, CEMERLANG menjadi moto atau slogan sekolah ini. Disiplin adalah syarat utama untuk melahirkan insan-insan yang berilmu. Tanpa disiplin, segala usaha akan menjadi sia-sia walau dalam apa jua bidang sekalipun. Insan yang berilmu dan berdisiplin akan cemerlang dalam hidup

lagu sekolah

 MAJULAH SKTU 4

Berdisiplin prinsip pegangan :.. Berilmu asas kejayaannya :.. Cemerlang menyinar gemilang :.. Sentiasa selangkah dihadapan :..

Kami berganding tangan bersatu :.. Menjana pendidikan bermutu :.. Sentiasa mencari ilmu :.. Syukurlah kami sentiasa maju :..

Kami adalah warga wawasan :.. Sama mengibar Jalur Gemilang :.. Kami pemimpin masa hadapan :.. Berdisiplin berilmu sentiasa cemerlang :..

Berdisiplin Berilmu Cemerlang :.. Itulah cogan kata kami :.. Sepakat berusaha sama berjaya :.. Maju sekolah maju negara :..

Berdisiplin Berilmu Cemerlang :.. Majulah SKTU 4

DOWNLOAD LAGU SEKOLAH

ikrar murid
Kami murid-murid 
Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4
Dengan penuh kesedaran
Bahawa kami
Akan belajar bersungguh-sungguh
Akan meningkatkan prestasi sekolah
Menjaga nama baik sekolah
Aktif dalam kegiatan sekolah
Menghormati ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan
Sentiasa mematuhi peraturan sekolah
Sesungguhnya inilah ikrar kami
Selama kami belajar disekolah ini

 Student's pledge 
We, students of sk taman universiti 4 
With full commitment
That we
Shall study hard 
Upgrade our school's prestige
Uphold our school's reputation
Be active in all the school's activities
Honour our parents, teachers and friends
Must obey the school's rules and regulations
This is our pledge 
piagam pelanggan

PIAGAM PELANGGAN

SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN UNIVERSITI 4, JALAN KEBUDAYAAN

81300, SKUDAI, JOHOR

Kami warga Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 dengan penuh tekad dan iltizam berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk:

  1. Memastikan sistem pendidikan berjalan dengan baik di sekolah ini bagi memenuhi matlamat dan perpaduan Negara.
  2. Mendapatkan staf yang mencukupi serta berdedikasi, komited, berdisiplin, bertanggungjawab dan produktif.
  3. Memastikan pelajaran dimulakan pada hari pertama persekolahan.
  4. Menentukan setiap guru dan kakitangan sokongan dapat berkhidmat dengan cekap dan berkesan sepanjang masa.
  5. Menentukan kami sentiasa peka dan responsive kepada keperluan dan kehendak murid, guru, ibubapa, masyarakat, kerajaan dan Negara.
  6. Memberi layanan mesra, perkhidmatan yang cekap dan jawapan segera kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan kami.
  7. Menentukan setiap surat aduan dan rayuan kepada sekolah di beri jawapan dalam masa dua minggu dari tarikh diterima.
  8. Bersedia memberi penerangan dan maklumat terkini dengan cekap, tepat dan cepat kepada yang berkenaan.
  9. Sentiasa bersedia dan sanggup menerima pendapat, syor dan teguran yang membina dari semua pihat demi meningkatkan perkhidmatan dan kecemerlangan akademik.

Sekiranya anda kurang berpuas hati, sila hubungi:

GURU BESAR SK TAMAN UNIVERSITI 4

TEL: 07-520 5520
lokasi sekolah

 Sila klik untuk melihat lokasi dan peta ke SKTU4 - LOKASI

MASA

Waktu Solat


Aktiviti akan datang:

No upcoming events